LAPORAN PROGRAM ‘THE MISUNDERSTOOD RELIGION 2015’

DONGYANG MIRAE UNIVERSITY

31 OKTOBER 2015

 

Pada 31 Oktober 2015, AMIR Korea telah menganjurkan program ‘The Misunderstood Religion’ dengan kerjasama daripada Hidayah Centre Foundation (HCF) bertempat di Dongyang Mirae University. Hidayah Centre Foundation ialah sebuah pusat perlindungan dan bimbingan saudara baru serta dakwah di Malaysia. Program yang julung julung kali diadakan ini bertujuan untuk memberi penerangan serta kefahaman lebih jelas mengenai Islam serta membetulkan salah faham segelintir masyarakat terhadap Islam disamping mendidik masyarakat umum tentang cara untuk menghadapai kepelbagaian agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Program ini telah dihadiri seramai 86 orang pelajar Malaysia terdiri daripada Muslim dan Non Muslim yang menuntut di Korea Selatan. Panel seramai dua orang telah dijemput iaitu wakil daripada Hidayah Centre Foundation sendiri iaitu Pengarah Urusan HCF, Tn Hj Abdul Rahman serta Bendahari merangkap ahli Lembaga Amanah HCF iaitu Ir. Hj. Wan Ahmad Nizar bin Zakaria.
Pendaftaran bermula seawal jam 9.30 pagi dan 20 pelajar terawal telah diberi kupon makanan tengahari nasi lemak secara percuma. ‘Goodies bag’ berisi gula gula dan air kotak juga telah diedarkan kepada para peserta sewaktu pendaftaran.

 

Program bermula pada jam 10 pagi dengan bacaan doa,nyanyian lagu Negaraku dan ucapan oleh Gabenor AMIR Korea, saudara Yusuf bin Samsul Bahari. Sesi pertama iaitu sesi forum bermula pada jam 10.15 pagi. Antara soalan yang telah diutarakan oleh moderator sewaktu forum ialah salah faham umum masyarakat terhadap Islam dan cara terbaik untuk menyampaikan dakwah. Di samping itu juga, persoalan mengenai peranan Muslim dalam menjaga keharmonian agama dan kaum turut dikupas sewaktu sesi forum berlangsung. Sesi forum tamat pada jam 12.45 petang dan program berehat sebentar untuk memberi laluan untuk makan tengah hari serta solat zohor secara berjemaah.

 

Di luar perkarangan dewan juga meriah kerana pihak AMIR Korea telah menjemput para pelajar untuk membuka ‘booth’ jualan. Antara ‘booth’ yang telah dibuka seperti ‘booth’ nasi lemak, muffin, air sirap bandung, sandwich dan jualan tudung. Majlis bersambung pada jam 1.45 petang dengan tayangan video pengenalan AMIR Korea serta beberapa video aktiviti serta program yang telah dijalankan oleh AMIR Korea. Sesi seterusnya bermula pada jam 2.00 petang dengan sesi soal jawab bersama para panelis. Pelbagai pertanyaan serta kemusykilan mengenai Islam serta salah faham mengenai Islam telah dilontarkan oleh para peserta kepada panelis. Sesi soal jawab berakhir pada jam 3.30 petang dan diserikan pula dengan persembahan nasyid oleh pelajar Batch 15. Program berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada para panelis dari HCF dan sesi bergambar.

 

Kesimpulannya, diharapkan program ini mencapai objektifnya untuk menjawab serta memberi pencerahan terhadap salah faham serta kemusykilan mengenai Islam. Program ini juga diharapkan sedikit sebanyak dapat membersihkan imej Islam yang sering kali buruk mengikut perspektif masyarakat akibat salah faham yang berlaku. Diharapkan juga para peserta mendapat input bermanfaat untuk diaplikasikan supaya dapat menyampaikan dakwah dengan betul serta berperanan dalam membentuk masyarakat harmoni dalam kepelbagaian beragama dan kaum di negara kita, Malaysia.

 

Disediakan oleh,

MUHAMMAD MUHAIMINUL HAKIM BIN JAMALUDDIN

SETIAUSAHA PROGRAM

‘THE MISUNDERSTOOD RELIGION 2015’

Galeri The Misunderstood Religion

 

Advertisements