Rukhsah Qasar Solat

Bismillahirrahmanirrahim.

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada  waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang  Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat  dan khusyuk.[al-Baqarah:238]

Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa  mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh  orang-orang kafir..[an-Nisaa’:101]

Tempoh bermusafir.

Para sahabat melakukan qasar apabila mereka tidak berniat bermukim di  suatu tempat. Oleh itu, apabila seseorang itu bermusafir ke suatu  tempat dan tidak pasti bilakah dia akan meninggalkannya, dia boleh  melakukan qasar selagi dia berada di sana sehingga memutuskan waktu dia  akan bermukim. Hal yang sama juga apabila orang itu berpindah dari suatu  tempat ke suatu tempat yang lain dan tidak tetap dalam perjalanannya,  dia juga boleh melakukan qasar sepanjang dia bermusafir.

Jarak perjalanan

  1. Abu Hanifah: 125km.
  2. Maliki,Syafie dan Hanbali: 2 marhalah (80km @ 95km)
  3. Zaidiyyah: 4 farskah @ 1 barid (28km)
  4. Zahiri: Tiada had yang ditetapkan tapi meletakkan 2km sebagai jarak  minimum bagi menentukan orang itu bermusafir ataupun tidak.

Bagi menetapkan jarak bermusafir yang membenarkan Muslim itu  melakukan qasar, ia perlu kepada dalil yang sahih, sama ada di dalam  Quran ataupun kata-kata Nabi Muhammad yang sahih. Cuma di dalam Quran,  kebenaran melakukan qasar tidak disebut secara mutlak dan tidak dihadkan  dengan jarak-jarak yang ditetapkan.

Oleh yang demikian, kerana tidak ada kata-kata Nabi Muhammad yang  kuat bagi menetapkan jarak musafir, tidak haruslah kita bertegas pada  mana-mana jarak sebagai jarak minimum bagi melakukan qasar. Terserah  pada pandangan mana yang lebih senang bagi mereka yang ingin melakukan  qasar.

Apabila ingin mengambil jarak yang terdekat, ia berdasarkan hadith  Muslim, jaraknya adalah 3 farskah(16km) dan jarak yang jauh adalah  125km. Walau bagaimanapun, apabila ingin pendapat yang lebih mudah,  pendapat golongan Zahiri adalah yang dekat dengan makna Quran secara  umum iaitu, ‘tiada had minimum bagi mereka yang ingin melakukan qasar  solat, asalkan mereka berada dalam keadaan musafir’.

Walaupun begitu, seseorang yang tidak bermusafir walaupun merentasi  jarak yang jauh tidak harus bagi mereka melakukan qasar kerana ia  ekslusif hanya bagi mereka yang bermusafir sahaja.

Wallahua’alam

Tinggalkan komen